Selasa, 9 Disember 2008

BAGAIMANA MENYINGKAPI KEPELBAGAIAN JAMAAH

“Tidak boleh ada dua buah kemudi dalam satu kapal”, “Sudah ada rumah yg sedikit rosak takkan nak buat rumah baru kerana kerosakan yg kecil tersebut?”, dan lain-lain lagi pernyataan dan pertanyaan diberikan daripada sebuah gerakan da’wah kepada gerakan da’wah yg lain. Ada pernyataan yg diberikan adalah benar pada kata-katanya, tetapi batil pada realiti semasa. Bahkan fenomena pada masa sekarang adalah lebih kepada untuk memberangus (membantai) gerakan-gerakan da’wah yang selain daripada mereka. Bahkan pada masa sekarang ini, kelihatannya sebahagian daripada jamaah-jamaah da’wah Islam sibuk dalam mempertikaikan keberadaan jamaah lain selain diri mereka. Mereka merasakan bahawa, tidak patut ada berbilang jamaah dan patut bergabung hanya pada satu jamaah. Maka dalam artikel yang tidak seberapa ini cuba untuk mengupas sedikit permasalahan berkenaan kepelbagaian jamaah yang dipermasalahkan sekarang.


Persoalan yang pertama yang perlu dijawab adalah adakah taadud ini dibenarkan dalam Islam? Maka jawabannya, kita ambil daripada buku Aids Haraki, karangan al-Ustadz Fathi Yakan, beliau menulis bahawa, “Sekiranya fenomena taadud ini bersih daripada taasub, disulami suasana penuh ukhuwah, terjalin kerjasama dan saling memahami antara mereka, tidaklah memerlukan pembicaraan[1]”. Maka dapatlah difahami bahawa perbedaan jamaah itu adalah halal selagi terdapatnya suasana ukhuwah, kerjasama, saling memahami dan paling penting bebas daripada taasub kepada jamaah sendiri. Dengan kata lain, dikutip daripada kata-kata yang masyhur daripada Syeikh Rasyid Ridha (rahimahullah), diteruskan oleh al-Imam As-Syahid Hassan al-Banna (rahimahullah), “Bersama dalam perkara-perkara yang disepakati, berlapang dada dalam hal-hal yang khilaf”.

Bahkan terdapat satu peristiwa yang terjadi semasa zaman Imam Malik (rahimahullah), di mana penguasa pada ketika itu mahu memaksa masyarakat melaksanakan muwattho’, maka Imam Malik (rahimahullahu taala) berkata, “Para sahabat Rasulullah s.a.w bertaburan di seluruh pelosok bumi dan kesemua mereka mempunyai fahaman sendiri. Jika engkau paksa mereka mengamalkan satu pendapat sahaja sudah tentu akan timbul masalah[2]”.

Ikhwah wa akhowat fillah aktivis da’wah sekalian, persoalan yang perlu kita jawab pada diri kita sendiri sekarang adakah dalam dada kita ini mempunyai rasa ‘lapang dada’ seperti mana kata-kata Syeikh Rasyid Ridha (rahimahullah) dan Imam As-Syahid Hassan al-Banna (rahimahullah) ataukah dalam hati kita ini teracun dengan sifat-sifat kaum Bani Israel, Yahudi la’natullah iaitu berasa dengki, iri, tidak senang bahkan mencari jalan untuk meruntuhkan bangunan da’wah jamaah lain yang tidak sama dengan jamaah kita? Persoalan ini yang menjadi keutamaan untuk kita bersama selidiki, fahami dan rawati.

Wahai mujahid wa mujahidah penyeru umat, sesungguhnya pada masa sekarang, umat kita terdedah kepada sejuta satu macam agenda kerosakan. Bermula daripada masalah penyelewengan aqidah, sehinggalah kepada keruntuhan akhlaq, penyodoran hiburan yang melampau, dan pelbagai lagi. Bukankah dalam masa yang sebegini genting, adalah lebih baik kita ber ‘fastabikul khairat’ dalam melaksanakan amal da’wah yang kita yakini? Kita bersungguh-sungguh dalam menyerukan umat agar kembali kepada Islam mengikut metodologi yang kita yakini dan senangi? Adakah perkara meniupkan api fitnah, memberangus/menghalangi/memporak-poranda jamaah lain itu akan menguntungkan umat Islam yang kini tercari-cari jalan keluar daripada segala kebejatan yang berlaku? Demi Allah, sekali-kali tidak, memfitnah/memberangus/menghalangi/memporak-porandakan gerakan da’wah yang selain daripada kita yakini tidak langsung memberikan kebaikan kepada umat. Bahkan menambah-parahkan kelemahan umat yang sedia lemah dan berpecah. Tinggalkanlah perasaan taasub kepada jamaah, merasakan paling benar, merasakan bahawa diri sentiasa betul, merasakan da’wah hanya milik jamaah tertentu, orang lain tidak layak untuk berda’wah dan lain-lain lagi.

Firman Allah SWT dalam hal-hal tersebut :

“Dan taatilah Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berselisih, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan kekuatan mu hilang......[3]

“Janganlah kalian menjadi seperti orang musyrik yaitu orang-orang yang memecah-belahkan agamanya dan mereka berkelompok-kelompok. Setiap kelompok berbangga dengan kelompoknya itu[4]

Sabda Rasulullah dalam hal-hal tersebut :

“Barangsiapa yang menyerang kami dengan senjatanya, maka dia bukan termasuk golongan kami[5]

“Bukanlah seorang mu’min, orang yang suka mencela, mengutuk, melakukan perbuatan keji dan kejahatan[6]

“Tidaklah seseorang menuduh orang lain dengan kefasikan dan kekufuran, kecuali tuduhan itu akan kembali kepadanya apabila yang dituduh tidak terbukti demikian[7]”.


(Mohon maaf pada semua pembaca, ini luahan hati daripada seorang yang punya bekal ala kadar sahaja, sekiranya ada salah dan silap, mohon diperbetul sebaiknya. InsyaAllah akan disingkapi dengan segera)

[1] Aids Haraki, Al-Ustadz Fathi Yakan, Citra Islami Press, 1993, (m/s 18)

[2] Majmuah Rasail, Imam Hassan al-Banna, Pustaka Salam, 2003, (m/s 239, 240)

[3] Al-Quran, (Al-Anfaal (8):46)

[4] Al-Quran, (Ar-Ruum (30):32)

[5] HR Bukhari dan Muslim

[6] HR Tirmidzi

[7] HR Bukhari

0 ulasan:


Blogger Templates by Isnaini Dot Com. Powered by Blogger and Supported by ArchitecturesDesign.Com Beautiful Architecture Homes